Saya jual...
Saya beli...
Apabila membeli-belah di pasar raya besar, adakah anda perasan bahawa kita jarang-jarang mendengar ucapan jurujual, "Saya jual." dan ucapan kita sebagai pembeli, "Saya beli." Lafaz ini dinamakan sighah jual beli yang mencakupi ijab dan kabul.
Mengikut mazhab Syafie, ijab dan kabul menjadi salah satu rukun dalam jual beli dan wajib dilafaz secara jelas. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu risau kerana jual beli kita itu tetap sah. Menurut beberapa ulama' mazhab yang tersohor seperti Imam Nawawi telah mentarjihkan pendapat dalam mazhab Syafie itu dengan mengharuskan jual beli tanpa lafaz ijab kabul. Dalam feqah, perkara ini dikenali dengan bai' al-mu'atah atau al-ta'ati. Terjemahannya mungkin jual beli unjuk-mengunjuk.
Dalam Islam, satu perkara penting yang menjadi matlamat jual beli ialah redha-meredhai. Al-taradi, al-rida atau saling meredhai adalah elemen penting yang menentukan keharusan jual-beli berkenaan. Hukum ini kerana nature sesuatu akad dalam Islam adalah berasaskan kepada matlamat merealisasikan maqasid (matlamat). Justeru, para fuqaha merumuskan satu kaedah feqah yang berbunyi: "Apa yang diambil kira dalam akad atau kontrak ialah maqasid (matlamat) dan maksud, bukan lafaz luaran atau binaan huruf."
Mengapa perlu sighah ijab dan kabul? Saling meredhai perlu direalisasikan dalam jual beli. Namun, redha adalah unsur dalaman yang terletak di dalam hati. Manusia tidak mampu mengetahui apa yang tersemat dalam hati orang lain. Maka, syariat menggantungkan hukum keabsahan jual beli pada sesuatu yang zahir iaitu sighah.
Firman Allah Taala : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu (redha-meredhai). (Surah al-Nisa' 4: 29)
Sabda Nabi s.a.w. : "Sesungguhnya jual beli berasaskan kepada saling meredhai." (Ibnu Majah, al-Sunan, no. 2269, jil. 7)
Bagaimana pula dengan jual-beli melalui internet? Jual-beli melalui internet adalah sah walaupun tidak ada pertemuan secara hakiki antara penjual dan pembeli dalam satu majlis. Hal ini kerana pertemuan antara kedua-duanya bukan menjadi matlamat ataumaqasid utama dalam jual beli tersebut. Sebab itu dalam feqah menjelaskan "asal dalam keabsahan kontrak ialah al-taradi". (Al-Duwaihi, al-Qawa'id al-Hakimah li al-Uqud dalam Buhuth Mu'tamar al-A'mal al-Masrafiyyah al-Eliktroniyyah, jil.5, hlm. 2333)
Artikel dihasilkan oleh Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dari majalah Solusi, isu 20.
Syana
Syana
0 Komen:
Post a Comment