2 Komen

Oh Tanah Airku

Salam alaykum buat sahabat-sahabat yang dirindui dan dikasihi.Harap semua sihat walafiat dan tekun mengisi setiap saat di bulan Ramadhan ini dengan ibadat-ibadat bagi menambahkan ketaqwaan kepada yang Esa.

Setelah menghabiskan masa hampir 2 bulan di tanah air, banyak perkara yang berlaku membuka mata saya tentang senario yang berlaku di tanah air. Salah satu yang terkesan di hati saya adalah melihat generasi muda zaman sekarang merempit. Sedih berbaur geram rasanya apabila melihat golongan ini membahayakan nyawa yang dikurniakanNya dengan cara yang salah. Bukan itu sahaja, mereka juga membahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain apabila melanggar lampu isyarat merah dengan sesuka hati. Terkadang saya merasakan mahu menegur mereka di saat itu juga. Namun apabila memikirkan betapa biadapnya mereka kepada polis, maka saya memadamkan sahaja niat saya itu.

Selesai sudah hal merempit, ingin saya ceritakan satu situasi lucu yang berlaku ketika saya menaiki bas pulang dari pusat bandar. Mempraktikkan apa yang sudah menjadi amalan saya dan kawan-kawan di Czech, saya memberi tempat duduk saya di dalam bas pada seorang makcik tua. Melihatkan perbuatan saya, seorang insan yang berada tidak jauh daripada saya melakukan perkara yang sama. Tersenyum saya sendirian menyaksikan perkara tersebut. Mungkin apa yang diperlukan oleh rakyat Malaysia bukan pendidikan kerana mereka sudah tahu apa yang patut dilakukan. Namun, apa yang perlu ialah keberanian iaitu mahu. Dan keberanian ini datang dengan sendirinya apabila ramai yang mempraktikkan perkara tersebut.

Setelah lama tidak berblog, saya menghabiskan masa yang agak lama untuk menaip entri kali ini. Ditambah pula dengan persekitaran yang agak "penuh" dengan suara adik-adik. Sekadar itu sahaja buat kali ini. Moga Ramadhan kali ini berkali-kali ganda lebih baik dari Ramadhan yang telah berlalu. Salam ukhuwwah dari saya. :)
read more